OK.
Gua mengaku gua adalah antara wira-wira yang dipilih oleh Datuk Seri Najib untuk ditaja percutian selama 3 bulan(atau 2 bulan 2 minggu secara tepat bagi batch gua).
Kita mula dengan prologue dulu.
Setting dia satu malam yang damai dan aman(tetapi bakal jadi huru hara) di dorm Cendekia 4, atau nama gengsternya C4(amacam? cukup gengster?).
Khabar-khabar angin telah tersebar dari mulut ke mulut mengatakan yang nama calon PLKN telah keluar dalam sistem dan boleh disemak melalui SMS. Budak duduk asrama mana nak dapat internet.
Masa dari dalam kelas prep gua sudah rasa satu macam. Tak sedap hati.
Habis kelas gua terus naik dorm sama member-member gua. Semayang Isyak berjemaah di masjid gua ponteng. Gua bajet nak sodom saja(sodom bukan anwar punya sodom. ini SOlat dalam DORM, hence, sodorm, atau sodom).
Member gua bawa keluar telefon bimbit.
Dia cek dulu. Tak dapat. Lega.
Member gua pula cek. Tak dapat. Lega.
Member gua satu lagi pula cek. Tak dapat. Lega.
Sampai turn gua cek. Dapat.
LANCAAUUUU!!
Member gua dah gelakkan gua sampai nak putus nafas.
Gua berjalan longlai ke tingkap.
Gua jerit kuat-kuat sampai habis kosa kata gua tak tahu nak mencarut bahasa apa lagi.
Jeritan gua disambut dengan sahutan, "Woi dapat PLKN ke?".
Terus gua tiada mood. Nak study pun malas. Gua tidur awal malam itu.
Member gua yang tak dapat, ambil mesej asal gua, tukar nama sama nombor IC taruk diorang punya, lepas itu forward ramai-ramai konon diorang dapat.
Ceh, fake. Gua juga yang original.
Oh ya, satu fakta menarik. Katil yang gua pakai, yang tengah-tengah bawah kipas dekat belakang sekali dalam dorm, memang disumpah. 2 generasi sebelum gua sangkut PLKN. Gua sangkut. Budak bawah gua, gua rasa sangkut juga.
Memang katil kegemaran Datuk Najib.
*****************************************
Fast-forward beberapa bulan. Setelah beberapa minggu menghabiskan masa sebagai seorang lepasan SPM, sampai hari yang ditunggu-tunggu.
1 Januari 2007.
Gua pack barang ala kadar saja. Ration pun langsung tak bawa. Memang gua berat hati gila.
Bas semua tunggu dekat tapak Bazar Ramadhan Teluk Intan. Dah daftar, gua cari bas. Dah jumpa, gua naik terus.
Gua duduk sebelah satu mamat pakai spek. Gua lupa nama dia. Kita panggil Azman saja.
Gua cuba bersikap diplomatik dengan memulakan perbualan dengan Azman. Tapi gua tanya dia balas sepatah sepatah. Cakap pula memang perlahan. Gua dengar tak dengar saja. Gua malas terus gua bantai tidur.
Sedar-sedar dah sampai kem.
************************************
Turun bas terus dia suruh beratur. Lepas beratur masuk bawah satu dewan hanya beratap tidak berdinding yang besar. Dewan ini dibahagi dua. Satu tempat perhimpunan, satu lagi tepat makan.
Tengah menunggu turn gua nak daftar, gua nampak satu kelibat yang gua kenal sangat. Kaki panjang, tangan panjang, jalan menghayun. Ini Azlan Husin!
Hati gua senang sikit. Kurang-kurang dah ada member. Tambah-tambah member yang bernasib malang macam gua.
Time daftar dia cek dokumen-dokumen sama bag. Gua memang bawak satu bag sahaja, memang senang saja proses gua. Tiada rokok, ubat-ubat terlarang mahupun barang pornografi yang gua bawa. Handset pun gua tak bawa.
Dalam kem, handset jurulatih pegang. Hari Sabtu dan Ahad saja baru dia pulangkan. Hari Sabtu dan Ahad adalah hari tidur dan handset.
Makan malam pertama. Sedap juga. Tapi itu semua penipuan semata-mata. Minggu pertama memang sedap. Lagi sedap dari sekolah gua. Tapi lepas itu jadi macam haram. Masak macam nak tak nak. Makan pakai tray besi dan cawan plastik. Tray sama cawan ini kena pegang sendiri. Nak makan kena bawa, lepas itu basuh dan bawa balik bilik. Jadi benda ini antara aset penting. Kalau hilang memang tak makanlah jawabnya.
*****************************************
Minggu pertama lebih kepada persiapan nak mengharungi bahtera PLKN.
Gua dapat kompeni Delta(Delta Force, bebeh!). Ada 4 kompeni semuanya. Alpha, Beta, Charlie sama Delta.
Setiap kompeni dibahagikan dalam dalam dua dorm. Setiap dorm ada jurulatih duduk sekali, tapi bilik berasingan. Jurulatih yang duduk sekali dengan gua, gua dah tak ingat nama dia. Kita panggil Undertaker saja, pasal rupa dia betul-betul macam Undertaker. Badan besar nak mampus. Lagi besar dari gua.
Undertaker boleh tahan sempoi. Selalu juga lepak sekali sama budak-budak. Selalu masa pagi Sabtu, waktu lepas sarapan. Hari Sabtu dan Ahad selalu tiada aktiviti. Jadi dia selalu datang sembang-sembang, cerita pasal benda-benda merepek yang dia selalu buat masa berkhidmat dalam tentera. Jurulatih-jurulatih kem gua hampir semua bekas tentera. Kompeni gua punya ketua jurulatih siap pangkat Major.
Dalam banyak-banyak cerita Undertaker, yang paling gua ingat dia sama member dia pedajal pelatih perempuan masa dalam askar dulu. Dia selinap masuk dekat ampaian perempuan lepas itu lumur serbuk cili dekat seluar dalam yang tengah bersidai.
Konsekuensinya? Lu bayang sendiri. Gua malas nak cerita.
Dalam PLKN, ada 4 baju yang diisu dan setiap baju diberi nombor.
Baju nombor 1, baju PT atau panjangnya physical training. Ini baju buat bersukan. T-shirt biru, seluar track cotton yang macam gampang dia punya gatal dengan kasut trainers.
Baju nombor 2, baju kelas. Lebih kurang macam baju korporat yang orang selalu pakai, tapi lebih berunsur ketenteraan. Seluar macam seluar sekolah rendah. Kasut kulit berkilat.
Baju nombor 3, baju celoreng. Diisu sekali dengan but, tali pinggang dan beret. Ini pakai masa modul fizikal.
Baju nombor 4, dipanggil half-loreng. Siapa yang cipta terms ini pun aku tak tahu. Baju ini adalah gabungan baju 1 dan 3. 1+3=4(yang ini aku pandai-pandai reka). T-shirt PT dipadankan dengan seluar celoreng siap tali pinggang dan but. Baju ini pakai bilamasa jurulatih rasa sesuai.
Masa baju nak diisukan, gua tak banyak ada masalah. Cuma kasut untuk No. 2 yang gua tak dapat. Memang ramai pun tak dapat. Tak ada stok. Yang ada saiz 5 sama 6. Malaun mana kaki saiz 6? Gila betul.
Pasal ada yang dapat saiz yang tak kena, ada diadakan upacara Barter terhebat di dewan. Memang meriah. Macam pasar malam jadi. Yang buat meriahnya pun merepek saja lebih. Barang dah lengkap dapat saiz yang ngam tapi nak juga semangat terjerit-jerit macam meniaga betul-betul.
****************************************
Dalam Delta, gua rapat sama Din(orang taiping, katil belah kanan gua), Wan(budak MRSM PDRM, gua pernah lawan ragbi sama dia, katil sebelah Din), Mawi(nama sebenar Afiq, budak grik, rambut botak macam Mawi), Megat(orang Kuale, ada kuasa paranormal). Dalam ramai-ramai, Din saja yang kadang-kadang ada kontek lagi dengan gua. Yang lain entah lepas ke mana.
5 tahun gua bergaul dengan budak-budak SBP, budak-budak pekan, ini kali pertama gua bercampur dengan budak-budak yang betul-betul dari luar bandar. Memang nakal hardcore punya. Budak nakal SBP memang tak boleh nak lawan. Jenis yang tak puas hati sikit nak bertumbuk. Buat benda tak ikut otak. Lu boleh bayang la jenis macam mana. Jenis yang kerja suka nak buli orang, tunjuk lagak, jalan berkepak, sembang nak meletup.
Macam mana gua boleh hidup? Gua buat apa Switzerland buat masa WW2. Gua neutral. Gua campur saja sama diorang, makan sama-sama, main bola sama-sama, tapi bila ada benda tak puas hati, jadi panas, gua tak campur sangat. Gua rileks-rileks duduk belakang tabir. Gua tak halang mereka nak buat benda merepek, tapi gua tak support(ok mungkin gua ada support sikit-sikit, tapi atas mahu menjaga hubungan diplomatik. tapi gua tak terlibat secara langsung).
Ada orang hulur arak yang diseludup dalam botol Pepsi, gua tolak secara berhemah. Begitu juga bila ada orang offer gua ganja dan Nospan.
Hasil daripada polisi hubungan diplomatik gua, memang hidup gua aman. Langsung tiada siapa nak kacau. Orang nampak gua rapat dengan kepala besar kompeni Delta, jadi kalau cari pasal dengan gua, maknanya cari pasal dengan Delta. Tambah pula saiz gua yang agak besar. Jadi orang malas nak cari pasal. Teori buli ini mudah saja. Kalau lu jenis orang yang tak seronok untuk dibuli, orang tak akan kacau.
Gua ingat lagi ada satu hari gua tengah main bola. Ada satu mamat kompeni Charlie bagi penendang melayang sama keting gua. Tergolek gua. Ini memang bikin gua panas. Gua terus bangun nak jadi agresif tapi member-member gua lagi awal. Terus mamat Charlie itu lari. Sejak hari itu, gua perasan dia dah tak pernah main bola sekali dengan kitorang dah.
Jadi memang terbukti proksi itu penting. Lu nak jadi kaya, nak ada kuasa, tak payah susah-susah nak buat sendiri. Lu pasang proksi cukup. Macam Khairy Jemaludin.
*******************************************
Kita masuk ke hal keagamaan pula.
Dalam kem, sembahyang Subuh, Maghrib sama Isyak wajib berjemaah. Lepas Subuh, ada kuliah. Sama juga lepas Maghrib. Dalam kem ada seorang ustaz daripada KAGAT(Kor Agama Angkatan Tentera).
Gua memang respect sama ini ustaz. Bukan apa. Pasal dia memang tegar memberi ceramah walaupun hampir 80% jemaah akan sujud menyembah bumi. Gua termasuk dalam kumpulan majoriti itu. Apa boleh buat beb. Dalam kem memang letih memanjang. Pantang ada peluang mesti mata jadi berat punya.
Sebelum Maghrib akan ada roll call. Nak kira cukup orang ke tak. Jadi peluang lu nak ponteng sembahyang memang hampir mustahil. Lepas roll call selalu ada 15-20 minit sebelum mula sembahyang. Jadi masa ini digunakan sebaiknya dengan melepak disekitar surau. Sembang-sembang kosong pasal hal-hal di rumah.
Selalu benda yang disembang adalah berkenaan hal-hal merempit(member kampung Mawi, Jo, geng Delta, berjaya meranapkan moto yang berusia 3 hari kerana mencuba aksi 'scorpion'. memang true rempit. parut penuh satu badan), perempuan dan berita-berita panas berkenaan konflik antara puak. Dalam kem gua majoriti datang dari Perak dan Kelantan. Ada geng Kelantan dalam kem gua yang agak poyo lah juga. Ini sedikit sebanyak menimbukan rasa tidak puas hati kepada penduduk tempatan. Majoriti menyampah dengan dua orang mamat yang tak habis-habis menunjuk-nunjuk skil tomoi. Gua tak tahulah pula kalau itu mereka punya polisi hubungan diplomatik tapi kalau ianya betul, polisi tersebut memang gagal sama sekali.
Hari Jumaat adalah memang hari kebesaran. Bukan selalu dapat keluar kem. Jadi peluang untuk keluar kem ini digunakan sebaiknya oleh mereka-mereka yang business minded, macam Din. Masa untuk restock rokok. Masalahnya kami keluar memakai No. 2 jadi susah nak merayau jauh dari masjid. Jadi kena ada taktik sendiri. Modus operandinya mudah. Panggil dua tiga budak, bagi duit suruh beli rokok. Upah tertakluk kepada kepandaian tawar-menawar.
Pada bulan pertama semuanya lancar. Tetapi masuk bulan kedua, jurulatih berjaya menghidu kegiatan penyeludupan ini. Turun saja daripada bas bila balik kem terus ada spot check. Akibatnya, ada seminggu-dua minggu juga bekalan rokok menjadi tipis, menyebabkan harga melambung tinggi. Rokok yang biasanya berharga 50 sen hingga seringgit(ikut bekalan) bagi sebatang Dunhill, naik jadi RM5 untuk sebatang SAAT.
Time gawat rokok, sebatang rokok akan dikongsi sampai 6-7 orang. Macam mana diorang hisap gua pun tak tahu. Tapi brotherhood punya pasal, sepam dua pam pun jadi. Buat lepas gian.
Macam-macam cara dibuat untuk lepas spot check. Selalunya selit dalam seluar dalam. Yang paling hebat, Jo. Dia pakai selipar getah besar yang dah kembang, lepas itu dia selit bawah tapak kaki. Lepas.
Selalunya gua tidak bermasalah dalam spot check. Tambah-tambah kalau Undertaker yang jaga. Selalu dia langsung tak check gua terus dia lepas. Agaknya dia nampak muka gua yang bercahaya iman. Itu yang dia percaya sama gua. Jadi adalah dua tiga kali gua tolong member gua yang menjadi usual suspects.
Proksi bai, proksi.
bersambung...........
4 comments:
seb baik lu menulis
gua dah krem otak
lu xpost
dah baca link gua paste?
dah baca bai.
terbakar aku!
hahaha....panas2....
haha...citer lu mmg sempoi der...tp gua ingat lagik time lu dpt sms tuh..mmg pecah perot ketawe...haha..
katil lu mmg ader sumpahan la bro...haha
Post a Comment